Abu Umar | 

Hijrah: Al-Inqilaab Islami (berhijrah kepada perubahan Islami)

Bismillahirrahmanirrahim.

Selamat menyambut tahun baru Hijrah 1431 kepada semua..

Dalam keghairahan kita menyambut tahun baru hijrah, amatlah penting untuk kita mengetahui akan jasa Sayyidina Umar Al-Khattab dalam mewujudkan kalendar Hijrah semasa beliau memegang tampuk pemerintahan Islam. Jikalau tidak dengan keputusan pada masa itu untuk mewujudkan kalendar berdasarkan kepada peristiwa Hijrah, barangkali peristiwa hijrah (yang merupakan satu titik tolak perubahan kepada perkembangan umat islam) makin terhakis daripada ingatan umat islam kini.

Firman Allah Taala dalam surah An-Nisaa, ayat 100:

وَمَنْ يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً وَمَنْ يَخْرُجْ مِنْ بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا
Barang siapa berhijrah di jalan Allah, niscaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Barang siapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Hijrah, event atau penghayatan?

Kita menyambut awal muharram setiap tahun. Semakin banyak kita menemui Muharram, bermakna:
  • Umur kita sudah semakin meningkat tua
  • Masa semakin suntuk untuk berlumba-lumba dalam perkara kebaikan (fastabiqul Khairat)
  • Kematian semakin menghampiri kita, dan
  • Kubur semakin hampir menggamit kita untuk mendampingi lain-lain yang telah meninggal dunia.
Kedatangan awal muharram bukanlah hanya sekadar satu peristiwa biasa. Tidak cukup dengan sekadar datang beramai-ramai ke masjid untuk membuat countdown, membaca doa akhir tahun, membaca doa awal tahun dan membaca yasin secara berjamaah di masjid-masjid atau surau-surau.

Initiasif mewujudkan kalendar islam, yang dilakukan oleh sayyidina Umar al-Khattab r.a bukanlah bertujuan sekadar 'event oriented', tetapi yang pentingnya ialah kepada penghayatan kepada setiap peristiwa-peristiwa yang dicatat dalam kalendar islam, terutamanya kepada peristiwa hijrah itu sendiri.

Persoalannya, bagaimana kita menghayati peristiwa hijrah, dan adakah semangat hijrah sudah meresap ke dalam pemikiran dan sanubari setiap jiwa-jiwa muslim?

Al-Inqilaab Islami (Perubahan Islami)

Hijrah, ataupun perubahan yang ingin dilakukan perlulah mencakupi dua perkara, iaitu Hijrah Makaniyah (Perubahan Fizikal ) dan juga Hijrah Ma'nawiyah (Hijrah yang bermakna dalam kehidupan). Dengan bertitik tolak atas kalimah syahadatain, maka perlulah setiap jiwa muslim ini membuat satu penghijrahan total dalam 8 perkara :
  1. Hijrah Al-I'tiqaadi (Akidah)
  2. Hijrah Ar-Ruuhi ( jiwa/Ruh)
  3. Hijrah Al-Fikri (Pemikiran)
  4. Hijrah As-Suluuki (tingkah laku)
  5. Hijrah As-thaqaafi (Pengetahuan)
  6. Hijrah Al-Ijtimaie (Bermasyarakat)
  7. Hijrah As-Siyaasi (Politik)
  8. Hijrah Al-Iqtishoodi (Ekonomi)
Perubahan yang hendak dilakukan mestilah disandarkan kepada konsep pembaikan berterusan, yakni daripada yang buruk kepada yang baik, dan daripada yang baik kepada yang lebih baik.

Jika jiwa-jiwa setiap muslim masakini sanggup melakukan kesedaran dengan membuat perubahan dalam perkara-perkara yang disebutkan di atas, maka pasti umat islam akan kembali bersatu dan kukuh atas platform agama islam yang tercinta ini, insya allah

Baru lah akan terwujudnya satu masyarakat 'kaffatal Islam', yakni masyarakat yang berpegang dengan teguh dan kukuh kepada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan dalam Islam.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ
Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah setan. Sesungguhnya setan itu musuh yang nyata bagimu.
-Al-Baqarah, 208-

Moga Awal Muharram 1431 memberi kita semangat untuk melakukan perubahan yang diperlukan, menjadikan kita seorang muslim yang menjadi aset kepada ummah.

Wallahualam.

Catatan Abu Umar
1 Muharram 1431






Ahli baru dalam keluarga - Abdullah Azzam B Azhari




Alhamdulillah, pada hari Jumaat yang lepas ( 17 Zulhijjah 1430 hijrah), isteri saya telah selamat melahirkan anak lelaki yang kedua seberat 3.05kg di an-noor hospital, Abu Dhabi.

Anak lelaki saya yang kedua diberi nama Abdullah Azzam B Azhari.

Moga zuriat saya yang kedua ini diharap dapat memberi lebih motivasi kepada saya untuk menjunjung tinggi panji Islam di mana jua saya berada.

"Ya Allah, jadikanlah anak-anakku ini sebagai penolong agama mu. Kuatkanlah jiwa mereka ini dengan islam, jadikanlah batang tubuh badan mereka ini sebagai benteng-benteng agamamu ini Ya Allah.

Suburkanlah jiwa perjuangan dalam hati-hati mereka, dan moga mereka tergolong dalam golongan -golongan ansarullah Ya rabbul Jalil.