Abu Umar | 

Tinggalkan Rumahmu Di Belakang...

Duduk sahaja di rumah -setelah beruzlah di masjid- adalah lebih teruk lagi dan tidak langsung menggambarkan sifat seorang muslim. Sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W. membantah keras orang yang bersembunyi di rumah sambil bersenda gurau dengan isterinya dan anak-anaknya, meninggalkan dakwah, amar makruf dan nahi mungkar. Mereka ini mengosongkan tempat mereka dalam barisan mujahidin yang sepatutnya dipenuhkan untuk menentang taghut.


Para perawi telah meriwayatkan kepada kita dari seorang sahabat Rasulullah S.A.W. yang telah dijamin masuk syurga, iaitu Talhah bin Ubaidillah al-Quraisyi r.a. Beliau telah berkata:

“Cukup jadi keaiban pada seseorang bila dia duduk diam di rumahnya.”

Tiada seorang pun ulama’ yang terkemuka yang redha dengan sikap demikian.Contohnya Imam al-Ghazali, beliau berkata:

“Ketahuilah, setiap orang yang hanya duduk di rumahnya, walau di mana pun dia berada sebenarnya telah melakukan kemungkaran. Bagaimana mereka boleh duduk saja-saja tanpa membimbing manusia, tidak mengajar mereka dan tidak membawa mereka kepada kebaikan. Walhal, di luar sana, sebahagian besar manusia masih jahil tentang syariat hinggakan syarat-syarat sembahyang"

Apatah lagi mereka yang tinggal di kampung pedalaman. Di antara mereka ada orang Arab Badwi, Kurdis dan Turki serta berbagai golongan etnik lagi. Sepatutnya ada seorang ulama’ atau faqih yang mengajar manusia tentang agama di setiap masjid dan kampung. Wajib ke atas setiap ahli fiqh -yang telah selesai melaksanakan kewajiban fardhu ain dan fardhu kifayahnya- keluar ke negara berdekatan, sama ada ia didiami oleh manusia tidak kira bangsa Arab, kaum Kurdi atau kaum etnik lain bagi mengajar mereka tentang agama dan hukum-hukum syariat mereka.



Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Mudatsir ayat 1-2:



يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ

“Wahai orang yang berselimut (Muhammad)!"

قُمْ فَأَنْذِرْ

Bangunlah, lalu berilah peringatan! (kaummu)”



Ibnu Taimiyah mentafsirkan ayat di atas dengan berkata:


“Wajib ke atas umat Islam untuk menyampaikan apa yang diturunkan kepada baginda Muhammad S.A.W., memberi peringatan sebagaimana baginda Muhammad S.A.W. memberi peringatan dan ancaman"



Firman Allah S.W.T.:


مَا كَانَ لأَهْلِ الْمَدِينَةِ وَمَنْ حَوْلَهُمْ مِنَ الأَعْرَابِ أَنْ يَتَخَلَّفُوا عَنْ رَسُولِ اللَّهِ وَلا يَرْغَبُوا بِأَنْفُسِهِمْ عَنْ نَفْسِهِ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ لا يُصِيبُهُمْ ظَمَأٌ وَلا نَصَبٌ وَلا مَخْمَصَةٌ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلا يَطَئُونَ مَوْطِئًا يَغِيظُ الْكُفَّارَ وَلا يَنَالُونَ مِنْ عَدُوٍّ نَيْلا إِلا كُتِبَ لَهُمْ بِهِ عَمَلٌ صَالِحٌ إِنَّ اللَّهَ لا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ


“ Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya; oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang orang itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan upaya mereka dapat mengajar kaumnya apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga.” (At-Taubah 9:122)



Bangsa jin pula apabila mereka mendengar ayat al-Quran,“..mereka kembali kepada kaumnya, memberi peringatan.Dalam timbangan Islam dan iman, ada amalan-amalan tertentu yang perlu diutamakan oleh seseorang pada satu ketika dan pada situasi tertentu mengikut konsep fiqh keutamaan (fiqh awlawiyyat). Satu amalan mungkin perlu dilakukan oleh seseorang tetapi tidak perlu bagi orang lain, perlu dilakukan pada seseuatu masa dan tidak pada masa yang lain. Adakalanya, setiap individu muslim mempunyai satu amalan khusus yang lebih utama untuk dilakukan olehnya berbanding dengan amalan-amalan lain yang juga mulia.


Ibnu al-Qayyim Rahimahullah telah mengatakan: “Bagi orang yang berani dan kuat yang mampu menggerunkan musuh dengan serangannya, perlu berdiri di barisan depan dan berjihad menentang musuh Allah. Tindakan ini lebih utama dari mengerjakan haji, puasa, sedekah dan ibadah sunat yang lain.”


“Bagi tokoh-tokoh agama yang alim dan memahami sunnah, halal haram, kebaikan dan kejahatan, pandai bergaul dengan orang ramai, mengajar dan menasihati dalam bab-bab agama lebih utama baginya dari mengasingkan diri dari orang ramai dan menghabiskan masa untuk bersolat, membaca al-Quran dan bertasbih semata-mata.”

"Janganlah ada di kalangan kita berhujah dengan hadis-hadis keutamaan ibadat-ibadat sunat, tasbih dan zikir untuk menjustifikasikan tindakan kita mengasingkan diri dari orang ramai, meninggalkan tugas untuk membimbing manusia lain serta mengajar dan menasihati mereka, berdasarkan pengetahuannya. Sesungguhnya menyampaikan dakwah Islam kepada orang ramai lebih baik daripada melakukan ibadah yang sunat."

-Petikan dari kitab 'Al-Muntalaq' karangan Muhammad Ahmad Al-Rasyid-

0 comments: