Abu Umar | 

F.I.T.N.A.H

Bismillahirrahmanirrahim

Allah S.W.T berfirman dalam surah Al-Anfal, ayat ke 25:
وَٱتَّقُواْ فِتۡنَةً۬ لَّا تُصِيبَنَّ ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنكُمۡ خَآصَّةً۬‌ۖ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ 
Dan peliharalah diri kamu daripada siksaan (fitnah) yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim sahaja dikalangan kamu. Dan ketahuilah bahawa Allah amat keras siksaan-Nya.

Ayat diatas merupakan satu amaran yang disampaikan oleh Allah S.W.T kepada makhluk yang bernama manusia. Amaran tersebut menyentuh berkenaan sikap berhati-hati manusia akan satu marabahaya virus yang pasti menimpa kita. Virus ini tidak hanya berlegar dikalangan pihak yang zalim sahaja, bahkan ia juga akan pasti berlegar dikalangan orang beriman kepada Allah S.W.T dan rasul s.a.w.

Virus tersebut bernama FITNAH.

Malahan, nabi s.a.w juga telah mengeluarkan satu kata-kata 'alert' kepada umatnya sendiri berkenaan fenomena fitnah yang pasti akan berlaku menjelang akhir zaman. Sabda nabi s.a.w:

"Tanda-tanda akhir zaman itu adalah cepatnya waktu, sedikitnya amal, meratanya kebathilan dan banyaknya atau nampaknya fitnah" - muttafaqun alaih-


Fitnah pasti melanda orang beriman

Jika disorot sirah nabawaiyah, kita akan dapati bahawasanya terlalu banyak fitnah-fitnah yang melanda pejuang-pejuang islam pada masa itu. Malahan, nabi s.a.w. sendiri tidak terlepas daripada tuduhan-tuduhan yang mencemarkan maruah baginda sendiri. Nabi s.a.w pernah dituduh gila, ahli sihir, pembelot bangsa dan banyak lagi tuduhan dan fitnah yang sedikit sebanyak mempengaruhi pemikiran masyarakat pada waktu itu.

Peristiwa khabar Ifk (berita pembohongan) menjadi satu iktibar kepada kita akan marabahaya fitnah yang tersebar dalam masyarakat. Kita dapat lihat bagaimana tukang-tukang fitnah, yang diketuai oleh 'King of Munafiq", Abdullah b Ubai memainkan peranan yang cukup besar dalam memanipulasikan keadaan dan memecahbelahkan kesatuan masyarakat islam ketika itu. Mangsa fitnah, A'isyah r.a dan Safuan b Al-Muattal menjadi tertekan dengan cerita fitnah yang tidak pernah dilakukan oleh mereka. Hubungan suami isteri antara nabi s.a.w dan A'isyah r.a. agak kritikal pada masa itu; semuanya gara-gara fitnah. Sampailah kepada satu tahap di mana rasul s.a.w memanggil abu bakar dan umar untuk berbincang berkenaan hal cadangan penceraiannya dengan A'isyah.

Nah, lihatlah bagaimana peranan fitnah dapat memecahbelahkan hubungan sesama manusia, hatta Nabi s.a.w tidak terlepas daripada ancaman ini!

Peristiwa pembahagian ghanimah sesudah perang Hunain juga wajar dijadikan pengajaran bagi kita akan bahaya fitnah ini. Apabila selesainya pembahagiaan , tersebarlah berita bahawasanya nabi s.a.w tidak adil dan bahawa nabi s.a.w menyebelahi kaum muhajirin. Dalam pembahagian ghanimah tersebut, nabi s.a.w membuat keputusan untuk melebihkan bahagian Kaum muhajirin daripada kaum ansar, padahal pada waktu itu kaum ansarlah yang banyak bersusah payah menyumbang kemenangan dalam perang tersebut. . Tambahan pula, pada masa itu kaum muhajirin terdiri daripada pemuka-pemuka Quraish yang baru memeluk Islam.

Tetapi atas kebijaksanaan nabi s.a.w, perkara tersebut dapat diselesaikan dengan pujukan penyejuk hati yang dikeluarkan oleh nabi s.a.w. :

"Wahai kaum Ansar, apakah kalian mendapatkan dalam diri kalian kecintaan akan sepotong Dunia, yang saya gunakan untuk melunakkan satu kaum sehingga mahu masuk islam, sementara saya sudah tidak ragukan keislaman kalian?

Wahai sahabat-sahabat Ansar, apakah kalian tidak rela bila orang lain pergi membawa kambing dan unta, sedangkan kalian pulang membawa rasulullah s.a.w?

Demi zat yang jiwaku ditangannya, seandainya tidak ada halangan niscaya saya adalah seorang dari kaum ansar. Seandainya seluruh manusia menempuh jalan disuatu lereng bukit dan kaum ansar menempuh jalan di lereng bukit yang lain, saya akan lewati lereng bukit mereka.

Ya Allah, rahmatilah sahabat-sahabat ansar,anak-anak, cucu-cucu mereka"

Fitnah memecahkan kesatuan aqidah

Motif tukang-tukang fitnah itu sangat jelas, yaitu menjatuhkan seseorang individu dan memecahkan kesatuan ikatan aqidah yang dibina melalui Amal Islami. Amat rugilah kita yang berjuang bermati-matian dalam perjuangan, dengan tidak mengenal erti penat lelah, malah banyak mengorbankan harta dan kudrat ke jalan Islam, tetapi atas sikap kita yang tidak berhati-hati dalam menerima perkhabaran menyebabkan kesemuanya yang disebutkan tadi hanyalah sia-sia malahan menjadi titik noktah perpecahan atas berita fitnah yang tiada diketahui kesahihannya.

Yang lebih malang lagi, akibat sikap kita yang tidak berhati-hati dalam menerima perkhabaran menyebabkan terjadinya pertelingkahan yang amat dasyhat sehinggakan menimbulkan ragu-ragu terhadap sahabat-sahabat seperjuangan. Segala amal islami yang dilakukan dahulunya mula disangsikan dan segala perbuatan baiknya mula dipertikaikan. Akibat fitnah, Seribu kebaikan hanya dipadamkan dengan satu kesilapan atau perkhabaran yang belum diketahui kesahihannya!

Sayang seribu kali sayang
Ikatan Aqidah yang disemai kepercayaan dan kasih sayang
Punah ranah terbang melayang
Angkara fitnah oleh munafiq yang dirancang

Yang pastinya, fitnah akan menyelak topeng orang munafiq yang berada dalam saf perjuangan. Inilah hikmahnya, yakni disebalik kekusutan kita dalam menyelesaikan fitnah, akan tertampil muka-muka hodoh munafiq yang berpura-pura dalam perjuangan. Kalau tidak, masakan Allah S.W.T tidak menurunkan satu surah khas diturunkan untuk golongan seperti ini.

Firman allah :

وَإِذَا رَأَيۡتَهُمۡ تُعۡجِبُكَ أَجۡسَامُهُمۡ‌ۖ وَإِن يَقُولُواْ تَسۡمَعۡ لِقَوۡلِهِمۡ‌ۖ كَأَنَّہُمۡ خُشُبٌ۬ مُّسَنَّدَةٌ۬‌ۖ يَحۡسَبُونَ كُلَّ صَيۡحَةٍ عَلَيۡہِمۡ‌ۚ هُمُ ٱلۡعَدُوُّ فَٱحۡذَرۡهُمۡ‌ۚ قَـٰتَلَهُمُ ٱللَّهُ‌ۖ أَنَّىٰ يُؤۡفَكُونَ (٤) وَإِذَا قِيلَ لَهُمۡ تَعَالَوۡاْ يَسۡتَغۡفِرۡ لَكُمۡ رَسُولُ ٱللَّهِ لَوَّوۡاْ رُءُوسَهُمۡ وَرَأَيۡتَهُمۡ يَصُدُّونَ وَهُم مُّسۡتَكۡبِرُونَ

"Dan apabila kamu melihat mereka, batang tubuh mereka menjadikan kamu kagum. Dan jika mereka berkata kamu mendengarkan perkataan mereka. Mereka seakan-akan kayu yang tersandar. Mereka mengira bahwa tiap-tiap teriakan yang keras ditujukan kepada mereka.Mereka itulah musuh yang sebenarnya, maka berwaspadalah terhadap mereka.;semoga Allah membinasakan mereka. bagaimana, mereka sampai dipalingkan kepada kebenaran?"
(Al-Munafiqun, 5)


Menghadapi Fitnah

Islam telah mengajar kita beberapa panduan untuk pecinta Islam dalam menangani fenomena Fitnah ini. Kita tidak dapat menghapuskan fitnah, tetapi kita dapat mengawalnya agar tidak menjadi virus yang besar kepada masyarakat dan pendokong agama Allah Taala. Ada 4 perkara yang perlu diperhatikan oleh kita dalam menangani gejala Fitnah ini:

1. Menyiasat kesahihan perkhabaran yang diterima.

Sesuai dengan firman Allah S.w.T dalam surah Al-Hujurat, ayat 6:

"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawakan satu berita, maka periksalah dengan teliti. agar kamu tidak menimpakan satu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaanya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu."

2. Jangan cepat menghukum

Firman Allah taala dalam Surah isra', ayat 36

وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌ‌ۚ
Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya

Sesuai juga dengan kaedah usul fiqh:

( الحكم على شيء فرع عن تصوره )
Menghukumi sesuatu itu merupakan satu cabang dari gambaran sesuatu itu

3. Berpegang teguh dengan keadilan dalam setiap perkara

Firman Allah taala:

وَلَا يَجۡرِمَنَّڪُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْ‌ۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰ‌ۖ
“Dan janganlah kebenciannmu terhadap suatu kaum menjadikan kamu tidak berbuat adil, berbuat adillah karena itu lebih dekat kepada taqwa. ”
( Surat Al-Maidah : 8 )

4.Jangan Khianati orang dan jangan membuka ruang fitnah

Berhati-hati dalam setiap perbuatan kita sehari-hari agar kita tidak membuka gelanggang kepada pemfitnah untuk mengadakan propaganda nya.


Penutup

Virus Fitnah akan sentiasa berlegar-legar dalam masyarakat kita. Mintalah petunjuk daripada Allah S.W.t agar kita dijauhkan dari sebarang tipudaya manusia dan agar kita tidak termasuk dalam golongan-golongan manusia yang suka menabur fitnah. Pasti, fitnah itu dapat meleburkan jambatan ukhuwwah fillah yang terjalin jika kita tidak berhati-hati dalam menerima maklumat-maklumat yang kian senang didapati mutakhir ini.

رَبَّنَا لَا تَجۡعَلۡنَا فِتۡنَةً۬ لِّلۡقَوۡمِ ٱلظَّـٰلِمِينَ
وَنَجِّنَا بِرَحۡمَتِكَ مِنَ ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡكَـٰفِرِينَ
"WAHAI TUHAN KAMI, JANGANLAH ENGKAU JADIKAN KAMI SASARAN FITNAH BAGI KAUM YANG ZALIM,
DAN SELAMATKANLAH KAMI DENGAN RAHMAT ENGKAU DARI (TIPU DAYA) ORANG-ORANG YANG KAFIR."
( YUNUS : 85:86)

Wallahu alam

catatan abu umar
23 june 2009/1 rajab 1430
1039






0 comments: