Abu Umar | 

Ramadhan : Bersediakah kita ?

Minggu lepas saya sempat menghadiri jemputan daripada Kedutaan Malaysia di Abu Dhabi untuk mengadakan majlis memperingati nisfu syaaban.

Saya diminta untuk mengimami solat maghrib, memimpin bacaan yasin dan memberi sedikit tazkirah berkenaan nisfu syaaban.

Alhamdulillah, ini merupakan satu 'milestone dakwah' dalam kehidupan saya kerana inilah kali pertama tazkirah saya berkumandang di kedutaan embassy abu dhabi. Sesungguhnya kesyukuran dipanjatkan kepada Allah Taala atas peluang yang diberikan. Mudah-mudahan itu bukan kali pertama dan terakhir tazkirah berkumandang di kedutaan Malaysia di sini.

Nisfu syaaban signal kepada Ramadhan

Ramai umat islam menyambut nisfu syaaban dengan mengadakan ibadah-ibadah sunat yang tertentu seperti solat raghaib, bacaan yasin 3 kali (diselangi dengan doa-doa tertentu), berkumpul di malam nisfu syaaban dan sebagainya. Amalan ini sangat popular khususnya di kalangan penduduk nusantara, dan juga sebahagian di Yaman.

Antara hadis shahih yang boleh kita pegang dalam perihal nisfu syaaban,
“Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci)"
(Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain).
Saya bukan hendak membicarakan tentang sunnah atau bidaah nya amalan amalan tersebut, kerana bukan bidang saya untuk membahaskan perkara ini. Cumanya, perkara yang boleh saya sebutkan di sini ialah berkenaan kesedaran umat islam akan 'signal' jelas yang boleh kita ambil daripada Nisfu Syaaban. Selain daripada keampunan yang Allah S.W.T kurniakan pada malam tersebut, 'signal' yang saya rasa paling jelas ialah isyarat tentang betapa dekatnya umat islam sekarang ini dengan kedatangan bulan yang sangat ditunggu-tunggu oleh kelompok orang beriman, iaitu Ramadhan Al-Mubarak.

Persoalannya, seperti mana seorang ayah dan ibu membuat persiapan untuk menyambut kegembiraan (baca : anak) dalam keluarga, adakah kita sudah membuat persiapan yang secukupnya untuk menyambut kegembiraan (baca : ramadhan) untuk kita yang hanya datang setahun sekali??

Madrasah Ramadhan mendidik jiwa

Acapkali kita mendengar Firman Allah ini setiap kali datang ramadhan,

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Hai orang orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa.
(al-baqarah, 183)


Juga, hadis daripada nabi s.a.w. ,

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيْمَاناً وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Sesiapa yang menghidupkan bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala daripada Allah, maka diampunkan bagi-nya dosa-dosa yang telah lalu."
(riwayat Bukhari & Muslim)


Bulan ramadhan inilah menjadi bulan muhasabah bagi kita menghitung perbuatan diri masing-masing. Jadikanlah madrasah tahunan ramadhan ini sebagai satu medan untuk memperbaiki segala amalan yang kita lakukan. Sebagaimana sebuah kilang memerlukan 'shutdown operation' untuk melakukan 'maintenance' kepada setiap peralatan yang terdapat di dalam kilang tersebut, begitu jua lah konsep yang kita boleh terapkan apabila tibanya ramadhan dalam kehidupan. Biarlah ramadhan menjadi bulan 'maintenance' untuk kita membersihkan daki- daki kekotoran penyakit rohani dan jasmani yang melekat pada kita.

Sabda rasulullah s.a.w.

رَمَضَانَ اَوَلُّهُ رَحْمَةٌ اَوْسَطَهُ مَغْفِرَةٌ وَآخِرُهُ عِتْقٌ مِنَ النَّارِ
Pada ramadhan itu, di awalnya rahmat, dipertengahannya keampunan dan di akhirnya dijauhkan dari api neraka.


Persiapan menyambut ramadhan
Jadikanlah syaaban kita ini bulan persediaan untuk menyambut ramadhan. Persiapan yang dimaksudkan itu termasuklah :

i. Persiapan Ruhiyyah - Bepuasa sunat, solat sunat, qiamullail, membaca Al-Quran, zikrullah dsb.
ii. Persiapan Fikriyyah
- mengulangkaji perihal puasa, memahami feqah puasa, mengulangkaji surah-surah yang telah dihafal
iii.Persiapan Jasmaniyah - menjaga kesihatan badan, mengatur masa tidur dan rehat yang secukupnya.
iv.Persiapan mental - bertekad untuk menjauhkan diri dari dosa, berniat untuk beramal soleh di bulan ramadhan, memasak tekad untuk melakukan ketaatan di bulan ramadhan
v.Persiapan material- bersedia untukmemperbanyakkan infaqke jalan perjuangan islam, melangsaikan zakat.

Mudah-mudahan ramadhan tahun ini akan meningkatkan amal islami, menaiktaraf keazaman untuk perjuangan islam, membersihkan kekotoran jiwa dan menjana kekuatan taqwa dan iltizam untuk lebih dekat pada Allah Taala.

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانٍ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ
“Ya Allah berkatilah hidup kami di bulan Rajab dan Sya'ban dan sampaikanlah usia kami hingga bulan ramadhan”.

Catatan Abu Umar
11 August 2009 / 20 syaaban 1430
Abu Dhabi

0 comments: