Abu Umar | 

Akal Berperantauan

Benarlah kata pepatah Melayu , "Jauh Perjalanan, Luas Permandangan"

Manusia dianugerahkan oleh Allah Taala dengan akal fikiran. Akal fikiran ini sangat mahal harganya. Kesemua makhluk Allah Taala di atas muka bumi in tidak diberikan akan akal, kecuali manusia. Dengan kurniaan akal inilah, kita diberikan satu kelebihan untuk berfikir atas perkara-perkara yang benar atuapun sebaliknya.

Belajar dengan alam

Semakin lama tempoh kita berada di negara orang, semakin terbuka pemikiran kita. Langit di setiap tempat tidak sama birunya, tanah disetiap benua tidak sama ratanya, suhu di setiap negeri tidak sama keadaanya dan pokok di setiap pelusuk tidak sama kehijauannya. Memang persekitaran banyak memainkan peranan untuk mematangkan pemikiran seseorang. Firman Allah Taala:

إِنَّ فِى خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَـٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّہَارِ لَأَيَـٰتٍ۬ لِّأُوْلِى ٱلۡأَلۡبَـٰبِ
Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal,[3:190]

كُلُواْ وَٱرۡعَوۡاْ أَنۡعَـٰمَكُمۡ‌ۗ إِنَّ فِى ذَٲلِكَ لَأَيَـٰتٍ۬ لِّأُوْلِى ٱلنُّهَىٰ
Makanlah dan gembalakanlah binatang-binatangmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu, terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang berakal. [20:54]

Akal ini mudah dipengaruhi jika tiada asasnya. Minda ini mudah dicemari jika tiad pegangannya. Merantau di negeri orang memang menyeronokkan, tetapi harus dipagari dengan iman yan kukuh dan utuh. Jika bepergian di negara yang dijagai adab dan tatasusilanya, mak beruntunglah kerana minda ini dapat dijagai dengan baiknya. Tetapi awas, jika bepergian di negara yang kurang adabnya, asahlah pegangan agama dan tundukkan kekuatan nafsu sebelum bepergian, takut-takut pegangan agama dan kewarasan akal yang didik sebelum ini akan musnah dan hancur luluh dek hilangnya pegangan dan ketidakwarasan akal.

Ego Akal

Apabila tahap pemikiran akal meningkat, jangan dibiarkan virus keegoaan dan kesombongan menyelinap ke dalam diri. Sudah menjadi fitrah insan, semakin tinggi tahap pemikirannya, maka semakin kuranglah dengarnya kepada pendapat dan pemikiran orang lain. Didiklah akal kita sepertimana pepatah melayu ada mengatakan:

Ikut Resmi padi, semakin tunduk semakin berisi

Akal perlu di didik untuk menerima. Akal juga perlu di didik untuk tidak menerima. Penerimaan akal kepada yang bermanfaat untuk agama perlulah dicekalkan. Tidak menerima kepad kemafsadatan perlu juga diasahkan, pokok pangkalnya pertimbangan akal perlulah diukur daripada kayu al-quran dan as-sunnah, supaya apabila akal didik dengannya, maka akan terhasillah bibit-bibit waras kemanusiaan yang menjurus kita kepada menjalankan tugas sebagai khalifah di bumi Allah ini.Yang terpentingnya, akal ini perlu di didik untuk tunduk kepada sang penguasa alam semesta, iaitu Allah Taala. Biarlah akal kita ini di didik oleh islam. Jadikan akal ini dibajai dengan Al-Quran dan Sunnah, juga disemai dengan ijma' dan Qias.

Akal dan perjuangan

Merantau bukan menjadi penyebab untuk lari daripada medan perjuangan. Bahkan, ia boleh mematangkan akal perjuangan jika kehidupan berjamaah dapat diadaptasikan dalam suasana setempat permaustatinan. Sebab itu, di dalam buku "Beberapa Pelajaran daripada Amal Islami" karangan Ust Said Hawwa, beliau telah menegaskan satu perkara yang sangat penting di dalam pelajaran kelima, iaitu bab perlunya pemikiran Jamaie (Aqliyyah Jamai'yyah) dan penghapusan sikap mementingkan diri. Ujar beliau:

Di dalam suatu perjalanan yang panjang di mana seseorang individu itu tidak mengetahui (di manakah sempadan peranannya, dan sampai ke manakah dia akan berjalan sama-sama rombongannya ia mestilah membuangkan segala sifat mengutamakan dirinya, kerana mungkin peranannya hanya pada separuh perjalanan sahaja bilamana orang lain pula akan menyambung peranannya itu. Begitu juga bilamana penyusunan tertegak agung, ianya memerlukan kepada tenaga generasi dan sesungguhnya kemuncak cita-cita individu ada lah penyertaannya di dalam pembinaan generasi ini, dan ini sudah cukup baginya. Tetapi sekiranya ia ingin membina bersendirian sudah pasti ia tidak akan berjaya dan ia tidak berkemampuan untuk berbuat demikian, dan pembinaan itu pun tidak akan sempurna.
Akal Jamaie perlulah diterapkan di dalam diri setiap individu muslim, baik sebijak mana individu itu atau sejahil mana seseorang itu. Tambahan pula apabila berada di perantauan, apabila perubahan drastik dapat dirasai dari segi cara kehidupannya, suasana baru yang dihadapi, masyarakat baru yang ia hidup bersama, dan sebagainya. Akal Jamaie, yang disulami dengan minda perjuangan haruslah diterapkan agar kita tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung, atau hidup nafsi-nafsi.Dengan mengetahui akan kepentingan berjamaie dan keharusan berjuang di jalan Allah sahajalah akan melahirkan seorang individu muslim yang dapat hidup di mana-mana sahaja atas muka bumi allah taala ini. Ambillah semangat sebiji penih pohon yang subur,dimana-mana sahaja dibawa,akan tumbuh menjadi sebuah pohon yang gagah merimbun.Ditebar ke laut menjadi pulau, ditebar ke daratan menjadi manfaat untuk manusia.

0 comments: