"Saya tidak percaya pada tuhan," ujar seorang kawan ofis saya semasa bermusafir dengannya tadi ke Ajman.
"Kenapa?" tanya saya.
Dia tidak menjawab persoalan saya. Sebaliknya, dia bercerita kepada saya tentang kebenciannya terhadap agama kristian.
"Di Korea, rakyat kebanyakan beragama apa?"tanya saya.
"Kebanyakannya Kristian dan buddhist, tapi saya benci kristian. Mereka seolah-olah memaksa orang untuk menyertai kristian."
"Orang orang korea yang beragama kristian sangat bodoh apabila mengajak orang di negara lain memeluk kristian dengan paksaan. " ujarnya lagi.
Ini sudah bagus. Saya rasa inilah pertama kali saya berbicara berkenaan perihal agama dengan orang bukan Islam di sini. Hendak saja saya nak berceramah berkenaan perihal agama islam kepada beliau, tetapi hati kecil ini berbisik mengatakan terlalu awal untuk berbuat demikian.
"Nenek dan ayah saya kristian, tetapi bukan saya. Saya tidak percaya pada agama. Kamu tahu, saya sering diajak untuk menemani nenek saya ke Gereja untuk mendengar karut marut mereka. Kamu tahu apa yang saya buat dalam gereja tersebut? katanya dengar nada bersemangat.
"Hmm, apa dia?"
"Saya tidur berdengkur!"
Kedua-dua kami ketawa besar dalam kereta.
Rokok, babi dan arak
Perjalanan masih jauh lagi, lebih kurang 1 jam setengah untuk sampai ke destinasi. Sambil mendengar lagu korea, kawan saya masih rancak bersembang dengan saya sambil memandu.
Kemudian, dia membuka tingkap kereta. " saya nak hisap rokok kejap," katanya. Saya hanya mengangguk.
"Kamu merokok sejak di bangku sekolah?"tanya saya lagi.
"Tak. Saya mula merokok semenjak menyertai tentera di Korea," katanya.
"Tak terfikir untuk berhenti rokok ke?" ujar saya untuk melihat reaksi beliau.
"Saya sedang terfikir untuk berhenti tahun ini. Tengoklah..."
"Untuk berhenti rokok, senang saja, Kamu mesti berada dalam lingkungan orang- orang yang tidak menghisap rokok. Baru menjadi!" nasihat saya kepada beliau.
Dia terdiam. Mungkin setuju dengan kata-kata saya agaknya.
Tidak berapa lama kemudian, dia bersuara kembali,
" Kamu tahu, saya percaya tuhan beri kita tiga benda di dunia ini untuk menikmatinya."
"Apa 3 benda itu?"
"Rokok, arak dan babi!" Sebab itu saya merokok, saya minum arak dan saya makan babi. Sebenarnya saya menghargai pemberian tuhan kamu tahu,"
Saya hanya tersenyum. Dalam hati, hendak saja dilempang mamat sorang ni. Tadi katanya tidak percaya kepada tuhan, sekarang digunakan pula hujah "pemberian tuhan" untuk halalkan benda yang telah diharamkan Allah Taala.
Mujur saya tak membalas hujahnya tadi dengan mengatakan " kamu tahu tuhan dah haramkan kesemua benda tu di atas muka bumi?"
Agak-agaknya dia peduli atau tidak dengan halal haramnya benda-benda tersebut? Bukan apa, takut nanti dibalasnya dengan hujah ini,
"Saya tengok orang Islam pun merokok, orang Islam pun minum arak, dan orang Islam pun makan babi!"
Letih nak menepisnya!
Mutiara dakwah yang tercicir
Bila memikirkan perihal tanggunjawab dakwah kita kepada -orang bukan Islam, terkadang boleh memakan diri bila ilmu tidak cukup di dada. Ternyata, mutiara dakwah sudah tercicir di kalangan orang Islam.
Berjayalah 'dakwah' penjajah kepada kita sebelum ini. Orang yang mengaji agama hanya buleh bercakap bab agama sahaja. Orang yang mengaji agama, kerjanya hanyalah duduk di masjid, mengajak orang ke masjid, dan mengajar bab-bab agama di masjid sahaja. Orang yang tidak mengaji agama, tak buleh sentuh bab agama. Hanya buleh sentuh bab-bab yang dia belajar sahaja. Urusan agama serah kepada orang agama. Orang yang tak mengaji agama cuma fokus kepada hal dunia.
Angkara dakyah inilah, mutiara dakwah telah tercicir dikalangan umat islam. Masing-masing hanya mengharapkan orang agama untuk menghidupkan agama, sehingga orang yang bukan mengaji agama lalai dalam kehidupan dunia. Itulah, bila terlalu mengharap, last-last tertiarap!
Cuba check balik sirah. Siapa yang berada di samping Rasulullah s.a.w semasa perkembangan Islam di Mekah dan di madinah? Semasa itu, tiada istilah orang beragama dan tidak beragama, semuanya terdiri daripada pelbagai latarbelakang, yakni pahlawan, dermawan, bangsawan, negarawan dan banyak lagi. Semuanya ditekankan kepada dua perkara yang menjadi tonggak dalam kehidupan seorang muslim, iaitu kewajipan berdakwah dan kewajipan bersama-sama dengan perjuangan Islam.
Doakan moga Allah Taala memelihara Jamaah dan ahlinya dari terpesong dari landasan perjuangan yang diredhainya.
Wallahualam
Catatan abu umar
27 april 2009
1.23 pagi
0 comments:
Post a Comment